Hampir jam 8.00 malam, dua orang gadis terus berkeliaran di sekitar puncak gunung jerai. Mereka
tercari-cari seseorang. Di puncak gunung itu, kedua-dua gadis ini telah bertemu dengan seorang
lelaki bernama Ramli bin Haji Khamis, 48. Dia bekerja dengan sebuah organisasi yang terletak di
puncak gunung itu. Sudah hampir 20 tahun beliau bekerja di situ.
''Abang, kami nak bermalam di sini, di Padang Tok Sheikh, boleh tak ? '' Tanya salah seorang
daripada mereka. Namanya Rasidah. Kawasan padang yang ditanyakan oleh gadis itu adalah sebuah
tempat lapang di puncak gunung itu. Ia dipanggil Padang Tok Sheikh.
En.Ramli bingung. Biasanya orang yang hendak berkhemah atau berkelah di situ memang akan bertanya
dan meminta kebenaran daripada beliau terlebih dahulu. Boleh atau tidak, beliau yang akan putuskan.
Tapi kali ini beliau terpaksa menegah kerana sungguh tidak molek anak gadis bermalam di situ.
Lalu beliau menyuruh kedua-dua gadis yang bertelekung ini pulang sahaja. Namun gadis-gadis itu
enggan. '' Tolonglah bang, malam ni aja. Lepas ni, kami takkan datang lagi,'' pinta Rasidah lagi.
En.Ramli tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Berulang kali difikirkannya, apa gadis-gadis
ini tidak takut dengan gunung ini ? Gunung ini 'bernyawa'. Ia banyak menyimpan cerita misterinya
yang tersendiri.
Orang-orang di Gurun, Kedah, semuanya tahu puncak gunung itu adalah perkampungan bunian. Di puncak
itu ada sebuah kerajaan besar. Ada istana dan pemerintahnya. Juga, ada kampung-kampung dan rakyat
jelatanya.
Jadi, tidak perlu gadis-gadis tersebut bermalam di puncak gunung itu. Bahaya! Nanti disorok orang
bunian. Tetapi berulang kali beliau menghalang, ada-ada saja alasan yang diterimanya.
''Kami dah janji dengan tok wan. Tok wan nak datang malam ni. Bolehlah, bang…'' rayu Rasidah,
tinggi suaranya.
Tok wan mana pula, fakir En.Ramli. Ada sesuatu yang tidak kena ! Segera beliau amati wajah
kedua-dua gadis yang bertelekung ini. Air muka mereka berdua manis dan berseri. Berumur sekitar
awal 20-an. Salah seorang daripada mereka senyap sahaja, hanya Rasidah yang bersuara. Pada
pandangan Ramli, gadis-gadis ini bukan jelmaan makhluk halus. Bukan… mereka bukan orang bunian !
''Tolonglah, bang. Puteri dah mimpi semalam ! Tok wan nak datang malam ni. Puteri dah janji
dengan tok wan,'' kata Rasidah lagi.
Puteri ? Siapa puteri ? Fikiran beliau semakin bercelaru. Siapakah gadis-gadis ini sebenarnya ?
Mengapa lain benar percakapan mereka ?
Lalu beliau cuba menakut-nakutkan mereka. En.Ramli katakan yang hutan itu penuh dengan binatang
buas. Di sekitar gunung itu sudah ramai orang yang hilang nyawa diserang gajah meroyan, harimau,
atau dipatuk ular, kala jengking, bisa lipan bara dan binatang-binatang buas yang lain.
''Tak mengapa, bang. Tok wan ada, tok wan boleh halau binatang-binatang tu. Puteri pun ada !''
jawab Rasidah. Ah! En.Ramli semakin terasa aneh dengan percakapan gadis ini. Siapa tok wan itu ?
Siapa pula puteri itu ?
Tiba-tiba, ada suara aneh hinggap ke telinga En.Ramli. Seakan ada orang meniup-niup telinganya dan
berulang kali suara itu menyebut Puteri Delima. ''Puteri Delima. Puteri Delimaaaa !! '' beliau
terpaku. Siapa yang bercakap ? Darahnya mula berderau. Puteri Delima mana pula yang hendak datang,
fikirnya berulang.
''Sayalah Puteri Delima !'' kata gadis yang duduk di sebelah Rasidah. Gadis yang senyap sahaja
dari tadi itu mulai bersuara. Matanya berkilat. Kemudian dia tersenyum lebar dan ketawa
terkekek-kekek. ''Ehh… ehheeee…! Ehh… ehheeee… ! Saya nak jumpa tok wan ! Saya nak jumpa tok
waaaaaan!!!! '' kata gadis itu yang tidak putus-putus tersenyum dan memandang Ramli.
En.Ramli tergamam. Terus dia benarkan gadis-gadis itu pergi ke Padang Tok Sheikh kerana
gadis-gadis ini bukan manusia biasa lagi. Mereka sudah dirasuk bunian, beliau terpaksa tunaikan
saja permintaan mereka.
Esoknya En.Ramli diberitahu rakan-rakannya, kedua-dua gadis tersebut ada berjumpa dengan
orang-orang yang bekerja di sekitar gunung itu. Malam itu juga gadis-gadis tersebut telah dapat
berjumpa dengan tok wan yang dimaksudkannya. Dakwa kawan-kawan beliau, tok wan itu seorang lelaki
tua dan beserban hijau. Mereka berjumpa di Padang Tok Sheikh. Peristiwa ini baru berlaku dua tiga
tahun lepas.
Pada pengalaman En.Ramli, apa yang mereka lihat itu adalah kelibat orang-orang bunian. Kawasan
padang itu adalah salah satu daripada penempatan orang-orang bunian tersebut. Hutan rimba di
sekeliling padang dan kawasan air terjun berdekatan juga adalah daerah kerajaan bunian.
Dahulu ada sekumpulan anak muda yang ternampak istana bunian di tepi air terjun di situ. Mujur
mereka cepat-cepat beredar. Kalau mereka masuk ke kawasan istana itu, mungkin mereka semua akan
hilang dibawa ke alam ghaib.
Orang-orang bunian ini memang sungguh menawan paras rupa mereka. Yang perempuan cantik, yang
lelaki pula kacak. Ada para pemuda dan pemudi yang mudah benar jatuh cinta apabila melihat
makhluk-makhluk halus ini.
Mereka mengekori pemuda dan pemudi bunian itu ke dalam hutan dan akhirnya, ramai yang telah
tersesat. Malah ada yang terus hilang di hutan rimba gunung itu, sampailah sekarang tidak ditemui.
En.Ramli sendiri selalu terlihat orang bunian yang masuk ke dalam surau di puncak gunung itu.
Di ketika yang lain, Ramli ternampak seorang lelaki tua bunian yang berserban mengambil air
sembahyang di perigi yang ada di situ.
Sebenarnya En.Ramli sudah banyak melalui pengalaman dahsyat yang dikatakan angkara makhluk-makhluk
halus. Pada awal tahun 2000, ada seorang lelaki berusia pertengahan umur 20-an telah hilang di
gunung itu. Jadi, beliau diminta untuk membantu usaha polis mencari pemuda tersebut kerana dia
cukup arif tentang kawasan pergunungan itu.
''Kita cari di sekitar air terjun dulu. Kalau tak jumpa juga, kita redah hutan ni,''kata En.Ramli
pada polis-polis tersebut. Tetapi sudah hampir tiga hari, usaha mencarinya masih tidak membuahkan
hasil. Tetap buntu. Sehinggalah pihak polis terpaksa menggunakan anjing pengesan untuk mencarinya.
Akhirnya, pemuda itu berjaya juga ditemui setelah hampir seminggu dicari. Pemuda itu dijumpai di
sekitar kawasan hutan yang tidak jauh dari kawasan air terjun tadi.
Malang sekali, pemuda itu sudah tidak bernyawa lagi. Mayatnya ditemui dalam keadaan sungguh
mengerunkan. Kepalanya putus. Dia seakan diserang oleh gergasi. Badannya berlumuran darah dan
penuh luka. Cebisan pakaiannya yang koyak rabak bersepah-sepah diserata tempat. Apa sebenarnya
yang telah terjadi ?
En.Ramli yakin ini bukan angkara binatang buas. Itu angkara bunian kerana sebelumnya mereka sudah
pun mencari di serata puncak gunung itu, pemuda tersebut gagal ditemui. Tetapi mengapa beberapa
hari kemudian tiba-tiba sahaja mayatnya dijumpai berhampiran dengan air terjun itu ? Mesti ada
sebab yang lain.
En.Ramli percaya pemuda itu dibunuh dan disorok bunian. Lagipun, kawasan air terjun itu dan hutan-
hutan di sekitarnya adalah tempat letaknya perkampungan bunian. Air terjun itu dipanggil tasik
lima beradik kerana ia adalah tempat lima orang puteri bunian bermandi-manda. Puteri-puteri itu
diceritakan terlalu cantik, tiada tandingan berbanding kecantikan manusia. Sambil mandi, mereka
ketawa beramai-ramai.
Beliau juga selalu mengingatkan para pengunjung, andainya mereka melihat lima puteri yang jelita
itu, janganlah sesekali tergoda. Apatah lagi cuba-cuba menyimpan hajat mendekati mereka. Sesiapa
yang terpedaya, nescaya akan lenyap ke alam bunian, kemudian hilang dari alam nyata.
Di pinggir air terjun pula, kata En.Ramli, terletaknya istana bunian. Istana itu tersergam indah.
Di sekelilingnya terdapat perkampungan bunian. En.Ramli memberi amaran kepada pengunjung, jangan
dekati istana dan perkampungan itu. Silap langkah mereka akan di bawa masuk ke alam bunian dan
terus lenyap.
Ramli percaya, pemuda yang mati itu telah termasuk ke alam bunian tersebut. Walaupun kematian pemuda itu disahkan akibat serangan binatang buas, tapi Ramli kurang setuju. “Ini kerja bunian,” berkali-kali dikatakan begitu.
Oleh kerana itulah En.Ramli selalu mengingatkan para pengunjung supaya jangan cakap besar, takbur
dan riak. Kalau tidak, nanti dapat kecelakaan. Tambah lagi buat perkara-perkara yang tidak elok,
bala mungkin akan menimpa.
''kalau ada apa-apa perkara yang pelik berlaku, jangan tegur. Lebih baik, diam ! Kalau ternampak
benda-benda yang ganjil, tinggalkan. Ini kampung bunian '' pesan En.Ramli.
Gunung itu sering 'mengambil nyawa' manusia yang berniat tidak baik. Mungkin ada benarnya ia
angkara binatang buas, tapi bagi En.Ramli, mungkin juga disebabkan orang bunian. Sama juga dengan
kebanyakkan kejadian orang mati lemas di kawasan air terjun di kaki gunung itu. En.Ramli percaya
semua itu angkara bunian.
Nama gunung itu, Gunung Jerai. Orang-orang di Gurun, Kedah sentiasa berhati-hati apabila ke sana.
Kalau ada orang luar yang mahu ke gunung itu dan berjumpa En.Ramli, dia akan berpesan, ''hati-hati.
Jangan main-main dengan pengunggu Gunung Jerai ini. Tempat ini keras ! ''